Tuesday, September 26, 2006

Juara AF4 kekal senyum sokmo

Oleh Zul Husni Abdul Hamid (Berita Harian)

Faizal tetap yakin mampu cipta populariti, bersyukur bakat terus dihargai

AURA beliau dikatakan tidak sehebat juara Akademi Fantasia (AF) musim ketiga, Asmawi Ani atau Mawi. Tetapi anak Terengganu ini juga mampu mencipta pengaruh yang besar jika diberi sedikit masa.

Barangkali ketika ini, khalayak lebih kerap membandingkannya dengan Mawi. Namun bagi anak muda ini, dia akan sedaya upaya mencuba untuk membuktikan kemampuannya.

Di pentas seni realiti mereka dilihat sebagai pesaing tetapi bagi Mohammad Faizal Ramly, juara AF musim keempat, dia tidak mahu kehadirannya dilihat sebagai menggugat artis sedia ada. Dengan merendah diri, Faizal berkata, dia menyanyi untuk menyalur bakat tanpa langsung terdetik di hati untuk menyaingi atau menjatuhkan sesiapa.

“Saya melakukannya dengan ikhlas, selain memikirkan bidang ini adalah sumber rezeki utama pada masa ini. Jadi saya akan terus berusaha, memperbaiki apa yang kurang untuk tidak menghampakan mereka yang memberi kepercayaan besar ini,” katanya.

Ditemui pada majlis pelancaran album kompilasi Best Of Faizal Senyum Sokmo, kelab peminatnya, Faizal FC dan laman web, baru-baru ini, Faizal mengakui, dia bersyukur kerana bakatnya terus dihargai.Ia disempurnakan Ahli Parlimen Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan.

Peminat Faizal boleh mengikuti aktiviti penyanyi itu menerusi laman webnya dengan melayari www.faizalfc.net.Mungkin dulu dia berdepan sedikit kejutan dengan perjalanan hidup yang baru dilaluinya, tetapi hari ini pemuda berusia 22 tahun itu semakin serius menyusun langkah.

“Kejutan itu sudah hilang tetapi apa yang bermain di kepala ketika ini hanya kerja dan kerja. Saya gembira kerana bakat saya terus dihargai,” katanya.Justeru kerana ingin memburu cita-cita, Faizal mengakui banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukannya. Sejak menjuarai AF4, baru sekali dia berpeluang menjejakkan kaki ke kampung halamannya. Itupun tidak lama, sekitar tiga hari dan selepas itu, pemuda berbintang Leo ini kembali diasak kesibukan.Gaji pertama disedekah pada ibu bapa“SETIAP hari ada saja urusan yang perlu diselesaikan.

Alhamdulillah, saya sudah mula menikmati hasilnya. Gaji pertama yang saya peroleh, saya berikan kepada emak dan ayah. Hanya Tuhan yang mengetahui betapa seronoknya saya kerana dapat membantu meringankan beban keluarga,” katanya yang enggan berkongsi jumlah gaji pertama yang diterimanya.Barangkali kehidupannya kini tidak lagi sama seperti dulu, Faizal mengakui, sesekali rindu untuk mengambil angin di pantai seperti biasa dibuatnya sebelum ini. Kini, dia cuba menyesuaikan suasana baru di ibu kota.“Apabila bosan dan tiada aktiviti, bapa saudara akan membawa saya menjelajah pelusuk kota untuk mengenalkan saya kepada realiti kehidupan sebenar,” katanya.

Ramadan yang berbeza buat Faizal kerana Ramadan ini dia berpeluang kembali ke kampung kerana terbabit dengan penggambaran, Uniknya Ramadan yang menyaksikan dia bertindak sebagai pengacara.“Tiga hari di sana, saya akan cari masa untuk berbuka puasa dan bersahur bersama keluarga. Sejak keluar AF4 peluang sebegini semakin terbatas. Mujur sesekali emak dan ayah datang ke Kuala Lumpur, dapat juga melepaskan rindu,” katanya yang akan berada di Kuala Terengganu selama tiga hari. Biarpun aktiviti nyanyian terhad, Faizal tetap diburu kesibukan dengan menjayakan program Marhaban Di Astro serta rakaman program raya.

Dia bersama teman seangkatannya juga akan muncul dengan album kompilasi hari raya di mana Faizal membawakan dua lagu iaitu Sepasang Kurung Biru dan duet bersama Haziq menerusi Salam Aidilfitri.“Insya-Allah tidak lama lagi album solo saya akan diterbitkan. Semuanya masih dalam perancangan dan syarikat rakaman sedang mengumpul material untuk dimuatkan dalam album itu,” katanya.

INFO: Mohammad Faizal Ramly
-Faizal atau Mohammad Faizal Ramly, 22, dilahirkan pada 17 Ogos 1984.
-Berasal dari Marang, Terengganu.
-Apabila menyertai AF4, Faizal popular dengan slogannya, Senyum Sokmo.
-Berbintang Leo,
-Faizal adalah anak sulung daripada tiga beradik.
-ia mendapat pendidikan terakhirnya di Sekolah Menengah Kebangsaan Rusila,Marang.
-Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Faizal membantu ibu saudaranya mengurus kedai emas selama dua tahun.
-Dia juga pernah membuat pelbagai pekerjaan, antaranya buruh kasar, pemandu lori dan peniaga pasar malam di Marang.
-Sebelum menyertai AF4, Faizal pernah menyertai uji bakat AF3, namun nasib tidak menyebelahinya sehinggalah dia menyertai uji bakat AF4 menerusi lagu Warkah Berlagu Pilu.

No comments: