Wednesday, January 03, 2007

AF5 guna dua hos?

(Harian Metro 3/1/2007)

KUALA LUMPUR: Program realiti televisyen popular tempatan, Akademi Fantasia musim kelima (AF5) kendalian Astro berkemungkinan dihoskan dua pengacara secara bersama.

Sumber memberitahu Harian Metro, AF5 perlu menerima suntikan baru dari segi format bagi meningkat serta mengekalkan populariti dan kualiti rancangan itu berikutan saingan sengit daripada pelbagai program realiti terbitan stesen televisyen tempatan.

Katanya, penggunaan dua hos itu dipercayai satu daripada beberapa cadangan perubahan besar yang akan dilakukan Astro.

Justeru, sumber itu tidak menolak kemungkinan pengacara AF, Aznil Nawawi (gambar) bakal digandingkan dengan pengacara lain.

“Bagi saya Aznil tetap Aznil yang punyai karisma dan kreativitinya tersendiri. Aznil cukup terkenal dan mampu menarik perhatian pelbagai peringkat penonton daripada kanak-kanak hingga golongan dewasa.

“Namun, mungkin Astro boleh membuat perubahan dan mencuba gandingan Aznil bersama pengacara lain, iaitu hos wanita. Saya berpendapat hos bersama ini mampu menambah keceriaan dan menghangatkan suasana program AF,” katanya.

Sumber itu berkata, antara ciri utama bagi seseorang pengacara AF ialah berpengalaman dan berpengetahuan dalam muzik tempatan dan luar negara serta sentiasa mengikuti peralihan rancangan AF sejak musim pertama hingga keempat.

Ditanya pengacara yang boleh digandingkan dengan Aznil, sumber itu enggan mendedahkannya, sebaliknya hanya memberi pendapat umum bahawa juruhebah radio antara calon paling sesuai.

Baru-baru ini, Pengarah Kanan Program Astro, Zainir Aminullah, berkata pihaknya tidak pernah merancang menyingkir atau berhentikan khidmat Aznil selaku pengacara rancangan Akademi Fantasia musim baru.

Beliau turut menafikan kenyataan beberapa pihak sebelum ini yang mendakwa kononnya tempat Aznil akan digantikan pengacara semakin meningkat naik, Mizal Zaini atau AC Mizal untuk mengendalikan AF5.

Kontroversi membabitkan pengacara rancangan popular itu untuk musim baru mula hangat diperkatakan apabila sebuah akhbar tabloid melaporkan perkhidmatan Aznil selaku pengacara tetap akan dihentikan.

Laporan itu menggemparkan penonton setia rancangan itu. Peminat meluahkan rasa tidak puas hati dan menjadikan laman bual @15 di Astro sebagai medan untuk melepaskan kemarahan mereka terutama terhadap AC yang dikatakan akan mengambil tempat Aznil.

Pelbagai kutukan dan celaan terhadap AC dilemparkan sehingga menimbulkan rasa kurang senang di kalangan kedua-dua pengacara popular itu.

No comments: