Tuesday, January 16, 2007

Hubungan Mawi- Faizal ‘panas’

SEBELUM ini ‘perang dingin’ di antara juara Akademi Fantasia musim ketiga dan keempat, Asmawi Ani atau Mawi dan Faizal Ramli, hangat diperkatakan.

Pemerhati industri hiburan melihat Faizal bakal mengambil alih tempat Mawi sebagai penyanyi lelaki popular jika kontroversi yang dikaitkan kepada pemenang tujuh kategori di Anugerah Era pada Ogos lalu itu tidak dihentikan.



CERIA...Faizal bersama Aznil,Raja Azura, Izwan Pilusdan Fazli Zainal mengikuti rombongan promosi ABPBH06 di utara.

Kenyataan itu didakwa menimbulkan rasa kurang senang di kalangan peminat Mawi mahupun penyanyi yang berasal dari Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu sendiri sehingga tercetusnya perang dingin.Dalam berhadapan situasi ini, Faizal selaku ‘adik’ dikatakan banyak mengalah dan membiarkan apa juga yang dilakukan kepada diri dan kerjayanya.


Mawi sewaktu ditemui di jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006 (ABPBH06) yang diadakan di Pulau Pinang baru-baru ini, bagaimana pun menafikan dakwaan itu.Katanya, dia tidak pernah memburuk-burukkan Faizal kerana tiada sebab untuknya berbuat demikian.


AKRAB...Mawi dan Faizal nafi wujud perang dingin antara mereka.

“Perkara ini sudah dibangkitkan sejak dulu lagi sebaik saja Faizal muncul juara Akademi Fantasia musim lalu. Saya sendiri tidak tahu mengapa ada orang cuba membanding-bandingkan di antara saya dengan Faizal.


“Penjelasan mengenai perkara ini sudah pun saya buat sebelum ini, jadi kenapa ia ditimbulkan kembali? Mungkin kerana ramai orang membandingkan kami membuatkan ada pihak membuat tanggapan bahawa saya cuba memburuk-burukkan Faizal.


“Sebaik saja Faizal muncul juara dan bernaung di bawah syarikat rakaman sama, saya selalu memberi sokongan kepadanya. Hubungan kami baik seperti adik-beradik. Rasanya semua orang tahu perkara itu.


Bukankah masing-masing punya peminat sendiri?” katanya.Sepanjang promosi ABPBH06 berlangsung di utara, isu perang dingin antara dua juara AF ini turut dijadikan modal untuk mengusik. Apatah lagi Faizal yang turut sama mengikuti rombongan dalam bas sering menjadi bahan usikan rakan-rakan.


Kata mereka, bagaimana penyanyi itu mahu berkongsi pentas dengan Mawi dalam keadaan perang dingin sedang meletus. Lebih daripada itu, ada yang menyindir kemungkinan Faizal tidak mungkin akan dapat naik pentas menyanyi menghiburkan peminat di utara kerana ‘abang Mawi’ sudah mengeluarkan arahannya.


Sekiranya difikirkan perkara ini tidak mungkin akan diperkatakan sekiranya ia tidak benar. Bagaimana pula rakan-rakan artis lain lebih mengetahui isu perang dingin dikaitkan antara mereka berdua.Faizal berkata, dia tidak terlalu mengambil kisah terhadap apa juga perkara yang diperkatakan orang membabitkan hubungannya dengan Mawi.


“Rakan artis lain mungkin sekadar bergurau dengan saya. Mereka berbuat demikian kerana tahu akan gosip membabitkan hubungan dingin saya dengan Mawi yang sebenarnya tidak berlaku menerusi majalah mahupun akhbar.


“Seperti kata Mawi sendiri perkara ini sudah pun dijelaskan sebelum ini dan ia tidak seharusnya ditimbulkan lagi.“Saya sendiri percaya kepada ketentuan Tuhan dan rezeki datang daripadanya. Kalau sudah tertulis rezeki saya ia tidak akan ke mana. Cakaplah apa pun ia tidak akan menjadi kudis.


“Sekarang ini, pada saya nyanyian lebih penting dan harus diberikan perhatian. Saya tidak mahu isu ‘perang dingin’ ini akan mengganggu tumpuan saya terhadap kerjaya.“Mawi mempunyai peminatnya sendiri begitu juga dengan saya. Ada juga peminat kami menyokong kerjaya seni kedua-duanya,” katanya.


Faizal turut menambah andai benar hubungannya dengan Mawi panas dan jika dingin tidak mungkin dia akan bersama-sama dengan Mawi berpadu suara mendendangkan Lagu Cinta Lagu Jiwa sewaktu menghiburkan peminat di pusat membeli-belah Queenbay, di Pulau Pinang dalam siri jelajah itu.

No comments: