Tuesday, January 16, 2007

Lembaga hitam kacau Mawi

Oleh Nazarali Saeril (Harian Metro 16/1/2007)

KUALA LUMPUR: Selepas menjadi juara Akademi Fantasia 3 (AF3) dan bergelar bintang paling popular, Mawi bukan saja menghadapi pelbagai kontroversi, malah sering mengalami gangguan makhluk halus.
“Saya pernah ditekup mulut dan ditarik kaki oleh lembaga perempuan lengkap berpakaian dan bertudung merah ketika berbaring untuk tidur.“Ketika itu, saya mengalami kesukaran untuk bernafas dan ia menyebabkan saya terjaga beberapa kali daripada tidur,” kata Mawi kepada Harian Metro, semalam.
Anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor itu mengakui gangguan berkenaan menyebabkannya gelisah dan bimbang untuk tidur kerana takut berlaku perkara tidak diingini. “Gangguan lembaga wanita berpakaian merah itu hanya berlaku sekali tetapi saya menganggap ia yang paling menakutkan.
“Selain itu, hampir setiap malam saya diganggu pelbagai lembaga hitam dan mengerikan ketika cuba tidur. Ada kalanya seolah-olah benar-benar berlaku tetapi saya anggap ia mainan tidur saja,” katanya.Menurut Mawi, apa yang menghairankan, gangguan itu bukan saja berlaku di kediamannya di ibu kota tetapi ia seolah-olah mengejarnya ke mana-mana lokasi yang dituju untuk tugasan atau persembahan.
Walaupun tidak menganggapnya perkara serius, Mawi sentiasa berhati-hati kerana bimbang mungkin ada pihak kurang senang dengannya atau kariernya yang sedang di kemuncak. “Saya menyedari mula mengalami gangguan berkenaan sejak mula menceburkan diri dalam bidang nyanyian tiga tahun lalu. “Sehingga kini, ia masih lagi ada tetapi tidak sehebat seperti ketika pembabitan awal saya dalam bidang ini,” katanya.
Mawi bagaimanapun tidak mahu berprasangka buruk terhadap mana-mana pihak berikutan kejadian menakutkan itu kerana menurutnya, ia boleh berlaku kepada sesiapa saja. Dia kini tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu kerana lebih baik fokusnya ditumpukan dalam mengembangkan kerjayanya.
“Saya tidak pernah disantau atau dibuat orang oleh pihak tertentu menggunakan ilmu hitam dan sebagainya. “Namun, untuk mengelakkan kejadian seperti itu, saya ada mengamalkan bacaan ayat suci tertentu kerana percaya hanya Allah s.w.t yang mampu melindungi hamba-Nya,” katanya.
Kata Mawi, dia tetap percayakan perkara ghaib tetapi tidak menganggap ia lebih berkuasa daripada Allah s.w.t.“Walaupun diganggu perkara ghaib, saya tetap akan berdoa memohon perlindungan dan bertawakal kepada Allah S.W.T kerana Dia lebih berkuasa,” katanya.
©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments: