Tuesday, January 16, 2007

Syarikat Rakaman Membunuh Artis

Aku kadang-kala simpati dengan nasib artis-artis Malaysia ketika ini. Di mana-mana corong radio pastinya akan berkumandang irama dan lagu dari artis-artis Indonesia yang pastinya akan sedap jika setiap hari pendengar diasak dengan lagu yang sama. Malah tidak keterlaluan dikatakan bahawa lagu-lagu dari Indonesia kini menguasai sebahagian besar carta muzik di negara kita.
Artis-artis Indonesia juga sering dipanggil untuk mengadakan persembahan secara besar-besaran di negara kita samada ditaja oleh syarikat gergasi tempatan atau dianjurkan oleh promoter itu sendiri. Ramai atau sedikit penonton yang menonton sesuatu konsert itu bukan satu halangan kerana yang penting artis tersebut bukan artis tempata. Artis Malaysia bukan sahaja tidak dipanggil untuk membuat persembahan di acara-acara gergasi, malah di pub-pub juga mereka dipinggirkan. Kenapa? Bagus sangatkah artis Indonesia tu?
Sebenarnya ancaman dan tekanan ke atas artis Malaysia itu bukannya datang dari luar tetapi dari dalam negara kita sendiri. Malah musuh nombor satu yang menjadi penyebab berleluasanya gejala cetak rompak dan kebanjiran artis-artis Indonesia adalah syarikat rakaman Malaysia sendiri.
Jika dulu 'ketegasan' syarikat-syarikat rakaman untuk tidak menurunkan harga CD dan VCD dipercayai menjadi penyebab berleluasanya gejala cetak rompak. Harga yang tinggi menyebabkan pembeli beralih arah kepada bahan yang 'haram' tetapi masih sedap sepertimana yang 'halal'.
Kenapa takut untuk menurunkan harga? Tidakkah syarikat rakaman tahu bahawa sebarang penurunan harga ke atas CD dan VCD walaupun sedikit akan menyebabkan penjualan mereka meningkat dengan kadar yang lebih tinggi? Mungkin syarikat rakaman Malaysia begitu 'bodoh' dalam membuat perkiraan ekonomi. Kenapa syarikat rakaman tidak boleh menganggap penurunan harga itu sebagai salah satu strategi promosi produk-produk mereka?
Malah tindakan syarikat-syarikat rakaman untuk meletakkan hanya satu atau dua sahaja lagu yang sedap di dalam sesebuah album baru memburukkan lagi keadaan. Kalau hanya satu atau dua sahaja lagu yang sedap tentulah pembeli tidak akan membeli produk tersebut. Lebih baik dengar di radio sahaja.
Kalau nak dengar selalu, rakam sahaja lagu tersebut. Bukankah keadaan ini akan menjejaskan penjualan album tersebut? Jika keadaan ini berlaku, mereka yang telah 'terbeli' album original tersebut pastinya 'terpaksa' menjadi pembeli album cetak rompak untuk album-album lain di masa hadapan untuk mengelakkan mereka menjadi mangsa kebodohan syarikat rakaman. Malah pembeli-pembeli ini boleh dianggap sebagai mangsa penipuan sindiket rakaman artis tempatan.
Kecenderungan syarikat rakaman untuk membuat album kompilasi dan tidak mengeluarkan album-album baru juga bagaikan membunuh secara senyap industri muzik tempatan. Ini kerana jika keadaan ini berterusan, industri muzik pastinya akan ketandusan lagu-lagu baru untuk diputarkan di stesyen-stesyen radio. Jika tiada lagu baru, stesyen radio terpaksa mencari alternatif lain bagi mengisi ruang yang kosong yang telah ditinggalkan oleh artis-artis tempatan. Takkan Radio Era atau Radio Hot FM nak siarkan lagu-lagu lama? Mesti pendengar mereka akan beralih arah ke stesyen radio lain pula. Maka untuk menyelamatkan diri mereka, stesyen-stesyen radio terpaksa menyiarkan lagu-lagu Indonesia yang sememangnya mempunyai 'stok' yang banyak.
Jika kita memerhati dan meneliti lagu-lagu Indonesia yang 'menyerang' Malaysia, tidak kesemuanya bermutu tinggi. Hanya beberapa lagu sahaja yang benar-benar baik. Malah terdapat beberapa lagu lama Malaysia yang mampu menandingi lagu-lagu Indonesia. Namun apa yang kita ada kesemuanya lagu lama yang mungkin layak untuk disimpan di muzium sahaja. Namun disebabkan oleh sikap pengecut syarikat rakaman tempatan, peminat muzik Malaysia terpaksa dengan rela menerima lagu-lagu Indonesia samada baik atau tidak kerana lagu-lagu mereka masih baru dan segar.
Aku mencadangkan agar syarikat-syarikat rakaman yang pengecut dan tidak berani menanggung risiko ini agar menutup sahaja syarikat mereka. Buat menyemak sahaja! Mereka-mereka ini hanyalah penyangak bangsa yang hanya memikirkan keuntungan jangka pendek dan bukannya untuk memajukan industri hiburan demi bangsa dan negara.
Anakmuar - Aku tabik spring kat MAESTRO yang berani menjual CD dan VCD dengan harga yang murah dan sentiasa berterusan mengeluarkan album-album baru. Inilah baru 'hero' industri hiburan.

No comments: