Tuesday, January 16, 2007

Tuhan Tolonglah Vince

Oleh Nor Akmar Samudinakmar@hmetro.com.my
ALBUM pertama Vincent Chong, 27, yang memuatkan lagu Mengapa Harus Cinta berjaya meletakkan penyanyi itu dalam suasana selesa di persada seni. Kehadiran klip video lagu itu turut membantu hingga lagu itu cepat melekat di hati peminat.
Namun laluan Vince agak berliku apabila muncul album kedua, Janji Vince yang dianggap kurang menyebelahi nasib anak muda itu. Bagaimanapun, berbekalkan jiwa seninya yang kental, Vince tidak pernah menganggap ia satu kegagalan.
Sebaliknya menjadi pemangkin kepadanya untuk terus menghasilkan yang terbaik. Katanya, dia kini sibuk membuat persediaan untuk melancarkan album pembungkusan semula menggabungkan lagu terbaik dari album pertama dan keduanya.
“Album itu juga akan menyisipkan satu lagu baru ciptaan komposer Indonesia, Tuhan Tolonglah dan satu lagi lagu ciptaan saya sendiri, Percayalah Sayang. “Ia diberi tajuk The Best Of dan album itu mengandungi 16 lagu yang mengembalikan kenangan peminat kepada album pertama dan kedua saya,” katanya.
Sebagai anak kacukan juga, Vince mempunyai keistimewaan menguasai bahasa Melayu, Kantonis dan Inggeris serta sedikit Mandarin. Kebiasaannya, untuk persembahan makan malam dan korporat, Vince menyanyikan lagu Melayu, Inggeris dan Mandarin.
“Sayang pula jika saya tidak menghasilkan album Mandarin. Oleh itu, syarikat rakaman memberi peluang kepada saya muncul dengan album Mandarin. Ia adalah projek khas saya dengan mereka.“Disebabkan saya kurang mahir berbahasa Mandarin, saya kini mengikuti kelas Mandarin. Bahasa Mandarin lebih sukar dari Kantonis tetapi pasaran lagu itu (Mandarin) lebih meluas.
“Lenggok lagunya juga boleh dipelbagaikan. Sekarang ini pada peringkat mengumpul bahan. Dengan hadirnya album Mandarin nanti, saya berharap dapat meluaskan pasaran ke Taiwan dan China. “Selama tiga bulan mengikuti kelas Mandarin saya fokuskan kepada kemahiran berkomunikasi bagi mendekatkan diri dengan peminat.
“Jangan pula ada beranggapan saya meminggirkan peminat tempatan. Saya masih anak Malaysia yang mengutamakan peminat di sini.“Namun dengan sedikit kelebihan diberi Tuhan, saya berharap boleh meluaskan kerjaya nyanyian ke peringkat antarabangsa,” katanya.Vince atau nama sebenarnya, Vincent Chong Ying Cern berkata, pada masa sama dia juga mencipta lagu untuk penyanyi lain.
Sempena Anugerah Industri Muzik ke-14 (AIM14) yang akan berlangsung pada 28 April ini, Vince antara artis yang akan menjayakan konsert prelude AIM14. Konsert itu akan berlangsung setiap Jumaat, jam 8.30 hingga 9.30 malam di ntv7 selama 13 minggu. Ia bermula 2 Februari hingga 27 April ini.

No comments: