Monday, February 05, 2007

Mawi paling popular

Oleh Ramlah Zainal dan Norhadiani Baharomam@hmetro.com.my (5/2/2007)

GENTING HIGHLANDS: Kontroversi terbarunya bersama pelakon, Ekin, tidak sedikitpun menggugat populariti Juara Akademi Fantasia musim ketiga, Asmawi Ani atau Mawi, 26, untuk terus mengungguli trofi Bintang Paling Popular sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006 (ABPBH06).

Lebih bermakna, Mawi mampu menyekat penguasaan penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Taruddin, 27, dengan memperoleh 261,555 undi dalam acara kemuncak ABPBH06 di Arena Of Stars di sini, malam tadi.Ketika ditemui Mawi berkata, dia menganggap kemenangannya itu sebagai rezeki.

“Syukur alhamdulilah, rezeki saya tidak putus-putus walaupun dilanda pelbagai kontroversi tahun lalu. Itu tandanya peminat masih menyokong saya. Saya juga berjanji akan mengurangkan kontroversi tahun ini.

“Saya juga tak menyangka akan menang Anugerah Bintang Popular tahun ini. Pada mulanya saya sangka Siti akan menang tapi rezeki berpihak kepada saya,” katanya.

Mengenai hadiah kereta Kia Sorento yang dimenangi, Mawi berkata, dia akan menggunakannya sendiri kerana dua kereta yang dimenangi sebelum ini sudah diberikan untuk kegunaan ahli keluarga.

Mengenai hadiah rantai berlian, penyanyi itu berkata, dia akan menyimpannya untuk masa depan. Ketika ditanya sama ada dia mempunyai hubungan cinta dengan pelakon Kawan, Ekin, Mawi enggan memberi sebarang komen.

Penyanyi kelahiran Felda Taib Andak itu membawa pulang hadiah kereta Naza Sorento 2.5 (A) bernilai RM133,232 tajaan Naza Kia Sdn Bhd dan rantai berlian kunzite sumbangan Habib Jewels bernilai RM150,000.

Mawi turut menang mudah menerusi kategori Penyanyi Lelaki Popular dan Artis Berkumpulan/Duo Popular bergandingan dengan Jamal Abdillah. Siti Nurhaliza, bagaimanapun mengekalkan kedudukannya bagi kategori Penyanyi Wanita Popular untuk tahun kesembilan.


Mengulas mengenai kekalahannya di tangan Mawi, Siti yang sudah memenangi kategori utama itu sebanyak enam kali berkata, dia tidak kecewa, sebaliknya menganggap ia rezeki Mawi.
“Siti sebenarnya tak letak apa-apa harapan untuk menang tapi lebih kepada meriahkan majlis. Tapi saya gembira dicalonkan untuk kali kesembilan dan menang kategori Penyanyi Wanita Popular juga untuk kali kesembilan.

“Siti anggap anugerah ini sebagai penghormatan peminat terhadap perjalanan karier nyanyian Siti dan sungguh tak sangka sokongan peminat masih kukuh sebelum dan selepas kahwin.

“Kemenangan ini juga memangkin semangat Siti untuk bekerja lebih keras untuk memantapkan lagi album dan karier nyanyian Siti. Ini bagi memastikan album dan nyanyian Siti berada pada tahap terbaik,” katanya.

Dalam pada itu, kejayaan Cicak-Man dan Gitu-Gitu Apek ternyata menaikkan nama Saiful Apek untuk menang dua kategeri iaitu Artis Komedi Lelaki Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular.Artis Komedi Wanita Popular pula dimenangi Sheila Rusly.Hero filem Melayu, Rosyam Nor hanya memenangi satu kategori iaitu Pelakon TV Lelaki Popular.
Sementara itu, lakonan yang menonjol dalam Natasha 1 dan 2 sebagai wanita malang dan terbaru Cicak- Man melayakkan Fasha menggunguli kategori Pelakon TV Wanita Popular dan Pelakon Filem Wanita Popular.

Kategori Pengacara TV Lelaki Popular dan Pengacara TV Wanita Popular terus mengekalkan juara bertahan Aznil Nawawi dan pengacara Melodi, Fara Fauzana. Berdasarkan pencapaiannya sebelum ini, Linda Onn juga menang mudah bagi kategori Penyampai Radio Wanita Popular, sekali gus terus mempertahankan kejayaan yang dikecapinya enam tahun berturut-turut.

Bagi kategori Penyampai Radio Lelaki Popular, trofi kemenangan masih dipegang juara bertahan, Halim Othman.
Bagi kategori Artis Baru Wanita Popular dimenangi Farawahida bersandarkan bakat besarnya sebagai penyanyi.Auranya yang dikatakan bakal menggantikan Mawi membantu Faizal AF4 memancing undi untuk memenangi kategori Artis Baru Lelaki Popular.
Sementara Rabbani terus mengekalkan kedudukan mereka sebagai Penyanyi Nasyid Popular.Anugerah Khas Bintang Popular disampaikan kepada Datuk Jamil Sulong, manakala Anugerah Biduan Veteran diberikan kepada Raja Pop Yeh Yeh, Jefrey Din.

Datin Umi Kalthum dianugerahkan Seniwati Veteran.Acara kemuncak ABPBH06 yang berlangsung dalam suasana prestij disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan stesen radio Era. Hadir sama, Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Seri Abdul Mutalib Mohamed Razak; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Abdul Rahman Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Syed Faisal Albar; Ketua Pengarang Kumpulan NSTP, Datuk Hishamuddin Aun dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail.
Lebih 6,000 penonton hadir menyaksikan acara lebih dua jam itu.Anugerah ABPBH2005 kali ini diacarakan pasangan pelakon dan pengacara, Raja Azura dan Fauziah Datuk Ahmad Daud.

ABPBH06 anjuran Berita Harian, memasuki edisi ke-20 tahun ini dan kekal sebagai acara pengiktirafan paling berprestij bagi dunia hiburan tanah air kerana menggabungkan semua penggiat seni termasuk dalam bidang perfileman, muzik dan penyiaran.




Mawi pertahan gelaran Bintang Paling Popular

Oleh Akmal Abdullah (Berita Harian 5/2/2007)

GENTING HIGHLANDS: Penyanyi popular, Asmawi Ani atau Mawi dinobatkan oleh pembaca akhbar ini sebagai Bintang Paling Popular pada majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2006, yang berlangsung di sini, malam tadi.

Mawi, 25, yang meraih 261,555 undi, memenangi gelaran itu untuk tahun kedua berturut-turut selepas mengetepikan saingan kelompok empat lagi artis yang mendapat undi tertinggi iaitu Fasha Sandha, Datuk Siti Nurhaliza, Saiful Apek dan Rosyam Nor.

Berikutan kemenangan itu, Mawi meraih hadiah barang kemas tajaan Habib Jewels Sdn Bhd bernilai RM200,000 dan kenderaan Naza Sorento 2.5 (A) tajaan Naza Kia Sdn Bhd berharga RM143,000.

Mawi turut dipilih memenangi kategori Penyanyi Lelaki Popular dan berkongsi trofi Artis Berkumpulan/Duo Popular bersama penyanyi Jamal Abdillah. Trofi Bintang Paling Popular 2006 disampaikan Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun pada majlis kemuncak ABPBH 2006 di Arena of Stars, di sini.Hadir sama, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail.

Anugerah Khas Bintang Popular diberikan kepada pengarah veteran, Datuk Jamil Sulong sementara Anugerah Biduan Veteran dihadiahkan kepada penyanyi 60-an, Jefrydin manakala Anugerah Seniwati Veteran disampaikan kepada Datin Umi Kalthum.

Majlis anugerah gilang-gemilang itu turut disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan radio Era. Lebih 5,000 penonton hadir mengikuti acara berkenaan yang berlangsung selama dua setengah jam di arena itu.

Sementara itu, Fasha Sandha dan Saiful Apek membuat kejutan apabila masing-masing terpilih menang dua kategori yang dipertandingkan dalam ABPBH 2006.

Fasha meraih gelaran Pelakon Filem Wanita Popular selepas mengetepikan saingan Erra Fazira dan Nasha Aziz yang menjadi pencabar terdekatnya, serta kategori Pelakon TV Wanita Popular dengan mengenepikan Eja dan Rita Rudaini.

Saiful yang mempertahankan kategori Artis Komedi Lelaki Popular, merampas gelaran Pelakon Filem Lelaki Popular yang sebelum ini kerap dimenangi Rosyam.

Bagaimanapun, Rosyam berjaya mempertahankan kemenangannya dalam kategori Pelakon TV Lelaki Popular.

Siti Nurhaliza pula terus mencatat kejayaan membanggakan apabila memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular buat kali ke-10 sekali gus mempertahankan gelarannya sejak kali pertama mengunggulinya pada ABPBH 1997.

Kumpulan Rabbani turut mempertahankan reputasinya apabila dipilih meraih kemenangan dalam kategori Penyanyi Nasyid Popular, manakala Sheila Rusly sekali lagi membawa pulang gelaran Artis Komedi Wanita Popular.

Bagi kategori Artis Baru Lelaki Popular dan Artis Baru Wanita Popular masing-masing dimenangi bakat baru, Faizal AF4 dan Farahwahida.Pemenang bagi kategori Pengacara TV Lelaki Popular dan Pengacara TV Wanita Popular disandang bintang yang sama seperti beberapa tahun sebelumnya, iaitu Aznil Nawawi dan Fara Fauzana.

Halim Othman dari stesen Sinar FM dan Linda Onn dari radio Era turut berjaya mempertahankan kemenangan masing-masing bagi kategori Penyampai Radio Lelaki Popular serta Penyampai Radio Wanita Popular.ABPBH 2006 ialah edisi ke-20 penganjurannya oleh Berita Harian, iaitu acara yang menggabungkan penganugerahan berdasarkan undian peminat untuk artis dan selebriti yang terbabit dalam bidang perfileman, nyanyian dan penyiaran.