Thursday, March 01, 2007

Bakti artis Johor berbaloi

Oleh Nor Akmar Samudinakmar@hmetro.com.my (Harian Metro 1/3/2007)
Konsert Amal Kasih Anak-Anak Johor kutip RM647,500 walaupun sasaran cuma RM400,000WALAUPUN persiapan untuk Konsert Amal Kasih Anak-Anak Johor dibuat tidak sampai sebulan namun ia berjaya melebihi sasaran.
Konsert amal itu diadakan pada Ahad dan Isnin lalu di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunus, Larkin, manakala majlis makan malam pula di Hotel The Zon Johor, Johor Bahru (JB).
Pengerusi Program, Datuk A Rahman Hassan, berkata pihaknya meletakkan sasaran kutian RM400,000, namun ia melangkaui sasaran apabila berjaya mengumpul RM647,500 termasuk kutipan daripada jualan tiket konsert dan sumbangan individu serta korporat. “Sasaran awal saya sekitar RM400,000.
Pada saya, dengan persiapan yang agak singkat itu, cukuplah jika berjaya mengumpul sebanyak itu. “Ternyata niat yang baik itu direstui Allah SWT. Dengan kejayaan program ini pada saya bukan tertakluk pada masa tetapi komitmen yang diberikan pelbagai pihak terutama artis.
“Mengikut persetujuan awal, semua artis yang sudi menjayakan konsert ini setuju tanggung sendiri belanja makan minum, penginapan dan pengangkutan.
“Barangkali kerana konsert itu dibuat dengan hati yang ikhlas dan bertujuan baik, keadaan berubah apabila pengangkutan dari Kuala Lumpur ke JB dapat disediakan termasuklah penginapan dan makan minum yang sebahagiannya ditaja Hotel The Zon dan Yayasan Bandaraya Johor Bahru.
“Ada juga yang menggunakan kenderaan sendiri terutama artis yang hanya membuat persembahan pada malam pertama,” katanya. Tambah Rahman, kerjasama rapat dengan Umno Bahagian Johor Bahru dan yayasan memudahkan segala urusan. Bahkan, konsert itu mendapat restu Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Datuk Shahrir Samad dan Datuk Bandar Johor, Datuk Mohd Naim Nasir.
“Mereka memberikan kerjasama cukup erat untuk menjayakan program ini. Malah, Datuk Shahrir dan Datuk Naim bersama-sama turun padang bagi memastikan segalanya berjalan lancar. “Paling mengejutkan saya pada majlis makan malam itu hanya 150 meja disediakan tetapi yang datang hampir 2,000 orang. Puas juga pihak Hotel The Zon mengubah suai kedudukan meja untuk menambahkan lagi meja dan kerusi.
“Begitu pun, ada tetamu terpaksa berdiri. Namun, itu semua tidak menghalang mereka turut serta menjayakan majlis amal itu,” katanya.Rahman berkata, program itu cukup bertuah kerana isteri Tunku Mahkota Johor yang juga selaku Presiden Khidmat Masyarakat PBSM Malaysia, Raja Zarith Sofia Almarhum Sultan Idris Shah, sudi menjadi penaung. Raja Zarith juga hadir pada kedua-dua acara amal itu.
Sementara itu, PGI Cipta Rasa Sdn Bhd dan Suara Rasa Sound & Light pula menyediakan kelengkapan muzik dan sistem bunyi untuk konsert dan majlis makan malam. Selesai majlis makan malam replika cek sejumlah RM470,000 diserahkan Tabung Bencana Banjir Johor. Hampir 6,000 penonton memenuhi stadium itu sekalipun pada siangnya hujan lebat turun.
Ternyata bayaran RM20 seorang tidak menghalang masyarakat setempat untuk berhibur sambil menderma. Ketibaan hampir 50 artis terkenal anak Johor cukup meriah apabila mereka diarak masuk ke stadium dengan kereta vintage dari Persatuan Vintage Malaysia-Singapura.Mereka yang tidak berkesempatan menaiki kereta antik itu pula diarak dengan motosikal berkuasa tinggi dari Johor Bikes.
Sambutan hebat diberikan setiap kali kereta antik dan motosikal berkuasa tinggi itu melintasi pentas utama stadium.Kedinginan malam itu dipanaskan dengan telatah dua pengacara, Aidiel Abdul Ghafar dan Tengku Azura (Kak Engku). Antara artis yang mengisi persembahan malam itu ialah Haiza, Jaafar Onn, Salwa Abdul Rahman, Rohana Jalil, Osman Kering, Datin Orkid Abdullah, Datin Azizah Mohamed, Abon, Ali Mamak, Dina (Malaysian Idol), Hamid Gurkha, Ramli Sarip, Nurul, Alina Hassan, Halil Chik, Amy Search, Ahmad Busu, Mawi, Hijjaz dan Mestica.
Tambah berseri dengan kehadiran Nurul, Spider, Rabbani, Roslan Shah, Julie Sudiro, Iesya, Hamidah Urip dan Khir Rahman. Kak Engku bukan saja sanggup mengendalikan program dua malam itu tanpa bayaran, malah selama dua hari dia berulang-alik antara KL-JB. Selesai konsert dia bergegas balik ke KL kerana esoknya dia bertugas di konti Era bersama Kiran dan Khairil, mulai jam 6 hingga 10 pagi.
“Saya balik ke KL selepas tamat konsert dan datang semula ke JB hari Isnin sebaik saja selesai tugas di pada jam 10 pagi. “Tak kisah penat sedikit kerana tugas yang sudah dimulakan perlu saya selesaikan. Keringat yang dicurahkan rasa berbayar apabila penganjuran konsert dan makan malam itu berjaya dan jumlah kutipan melebihi dari jangkaan.
“Jika program seperti ini diadakan lagi, insya-Allah saya akan berusaha tampil memberikan kerjasama Ia juga sebagai membalas semula sokongan peminat terhadap kerjaya seni saya selama ini,” katanya.
Mawi yang pada mulanya tidak dapat menyertai projek amal itu juga akhirnya turut serta demi membalas budi warga Johor yang menyokong impiannya bergelar penyanyi terkenal sejak dia menyertai Akademi Fantasi musim ketiga lalu.

No comments: