Wednesday, February 20, 2008

Akademi Fantasia dan hos baru

Selepas Akademi Fantasia ke-3 (AF3) berakhir dengan menobatkan Mawi sebagai juaranya, aku bagaikan kurang 'bernafsu' untuk menonton AF. Aku tak tahu mengapa tapi mungkin aku merasakan industri muzik telah pun mempunyai ikon baru iaitu Mawi dan industri tak perlu tercari-cari Mawi ke-2.

Namun kini aku bagaikan teruja untuk menantikan kehadiran AF6 kerana setelah tiga tahun selepas Mawi, industri memerlukan ikon baru untuk memeriahkan lagi industri muzik tanahair. Bukan untuk menidakkan kehebatan dan kepopularan Mawi tetapi kesinambungan kejayaan rancangan realiti Akademi Fantasia perlu diteruskan.

Pengunduran pengacara paling popular, Aznil Haji Nawawi dari Akademi Fantasia pada musim ke-5 yang lalu pada mulanya dilihat bakal menjerumuskan AF ke jurang kehancuran. Apatah lagi rancangan itu dilihat kehilangan taringnya selepas AF3 kerana elemen-elemen drama yang menjadi rencah utamanya terlalu mudah untuk dijangka oleh penonton.

Strategi bijak pihak Astro dengan membongkar rahsia AF6 secara perlahan-lahan telah berjaya untuk menarik penonton untuk sentiasa mengikuti perkembangannya. Dimulai dengan keterbukaan AF untuk menerima 'warga veteran', pengenalan Ramli MS sebagai pengetua baru dan pengenalan hos bersama AC Mizal serta Sarimah untuk mengendalikan AF6 bagaikan memberi nafas baru ke atas rancangan ini.

Konsert pertama rancangan AF6 yang dijangka diadakan pada 8 Mac 2008 pastinya akan menjadi kayu pengukur samada rancangan ini masih popular atau tidak kerana pada masa yang sama Demam Pilihanraya ke-12 sedang berlangsung.