Sunday, February 14, 2010

NORMAN KRU PENGETUA AF8


Norman KRU diumumkan sebagai pengetua AF8 sekaligus telah menamatkan pelbagai spekulasi dan teka-teki orang ramai tentang siapakah yang bakal menerajui akademi pada tahun ini. Program yang akan terus disiarkan di Astro RIA (saluran 104) ini juga turut membawa kembali barisan pengajar yang pernah berjuang untuk AF seperti Siti Hajar (Guru Vokal Teknikal), Linda Jasmine (guru tari), Adnan Abu Hassan (Guru Vokal Persembahan) dan Fatimah Abu Bakar (Kaunselor dan Guru Bahasa Inggeris) di samping pelakon berbakat yang tidak asing lagi; Que Haidar (Jurulatih Drama).

Selain daripada pengumuman peneraju akademi, Akademi Fantasia juga amat berbesar hati untuk mengumumkan wajah-wajah eksklusif Astro; Sarimah Ibrahim yang akan berpasangan dengan seorang lagi pengacara hebat kelahiran Astro sendiri iaitu Jimmy Shanley. Gandingan duo pengacara hebat ini bakal disatukan buat pertama kalinya di pentas mingguan Konsert Akademi Fantasia musim kelapan.

Pengalaman mengacarakan rancangan Diari AF selama dua musim semenjak AF6 dan mengacarakan program antarabangsa versi Asia, Biggest Loser Asia yang sedang hangat ditayangkan di saluran ASTRO di samping bertahun-tahun pengalaman dalam bidang pengacaraan dan lakonan memberikan kelebihan kepada Sarimah Ibrahim untuk mengacarakan siaran langsung Konsert AF di samping Jimmy Shanley yang sudah sinonim namanya bersama program Trek Selebriti siaran Astro selama enam musim.

Menurut Pengurus Saluran Astro RIA (saluran 104); Puan Azlin Reza Azmi berkata, ”Pihak Astro amat teruja untuk memulakan Akademi Fantasia musim kelapan dan mengucapkan selamat kembali kepada Sarimah Ibrahim dan barisan tenaga pengajar yang pernah mewarnai dunia realiti Akademi Fantasia di musim-musim lalu. Ini merupakan bonus untuk musim ini kerana mereka bukan sahaja mempunyai pengalaman luas di dalam bidang masing-masing, malahan juga telah mengetahui selok-belok dan merasai sendiri cabaran dan rintangan suka-duka hari-hari di dalam akademi.

Kami juga amat mengalu-alukan kedatangan komposer, penyanyi, usahawan dan ahli poiltik yang disegani; Norman Abdul Halim yang akan memimpin akademi pada kali ini sebagai pengetua AF8 di samping Que Haidar dan Jimmy Shanley ke dalam keluarga AF8. Kami yakin latar belakang dan pencapaian dalam bidang masing-masing dapat dikongsi bersama bukan sahaja bersama para pelajar tetapi juga penonton-penonton setia program realiti nombor satu negara ini. Persetujuan dan komitmen mereka untuk sama-sama menyumbang kepada kejayaan AF8 amat dihargai dan saya pasti musim ini akan lebih meriah dengan kehadiran mereka.”

Pada musim kelapan ini, para penonton dan peminat AF umumnya diberi lebih masa dan peluang untuk menilai prestasi persembahan peserta kegemaran masing-masing sebelum menghantar undi apabila keputusan penyingkiran akan hanya dilakukan pada hari Ahad melalui program siaran langsung Debaran AF. Keputusan ini diambil selepas mengambil kira pelbagai faktor seperti masa suntuk untuk mengundi peserta pilihan selepas mengadakan persembahan mingguan.

Akademi Fantasia bakal menemui para penonton melalui empat program utama iaitu Tirai AF, Diari AF, Konsert AF dan Debaran AF.