Saturday, January 06, 2007

Haziq kental jiwa Melayu

Oleh Norhadiani Baharom
(Harian Metro 6/1/2007)

JIKA kebanyakan anak muda taksub dengan pemikiran Barat baik dari segi kehidupan sosial mahupun kemajuan industri seni negara itu, Haziq pula boleh dijadikan contoh sebagai remaja yang kental dengan jiwa Melayu.

Dia mahu terus berpaksikan identiti bangsa kebanggaannya, kerana itulah bila ditanya bagaimana konsep album yang diinginkan, pemuda berasal dari Kulai, Johor ini tidak teragak mengatakan irama tradisional.

Keputusan ini, sememangnya tidak mengejutkan kerana sejak bergelar pelajar AF4 lagi kecintaan Haziq terhadap irama tradisi cukup terserlah.

Disebabkan itu, Haziq hanya sedia menerima tawaran syarikat rakaman yang menyediakan peluang menghasilkan album berkonsepkan sedemikian.

“Saya tahu kehendak hati dan yakin muzik tradisi mampu diterima pendengar sekiranya ada pihak berusaha memartabatkannya.

“Saya juga tidak bimbang dikatakan ketinggalan apabila memperjuangkan lagu sebegini kerana bangga dengan muzik serta khazanah bangsa saya.

“Perlu ada usaha mengkomersialkan semula lagu-lagu tradisional supaya tidak terus hilang ditelan zaman.

“Memang tidak dapat dinafikan ada pihak menawarkan saya menghasilkan album pop namun, saya sedar kemampuan diri. Saya bukan penyanyi yang bagus untuk konsep album sedemikian.

“Jiwa saya lebih kepada lagu tradisional dan mahu berjaya sebagai penyanyi irama Malaysia. Andai ilmu nyanyian sudah cukup mantap barulah saya sedia mencuba genre muzik yang lain,” katanya.

Pun begitu, Haziq tidak menolak sekiranya album tradisional itu digabungkan dengan sedikit sentuhan komersial kerana ia salah satu cara menarik minat pendengar terutamanya remaja.

Andai impiannya menjadi kenyataan, Haziq mengimpikan lagu duet bersama penyanyi pujaannya iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Datuk Ahmad Jais, Tan Sri SM Salim, Aspalela Abdullah dan Noraniza Idris.

Malah, dia juga mengharapkan peluang untuk bekerjasama dengan komposer hebat seperti S Atan, Pak Ngah, Ramli Sarip dan M Nasir.

Bersempena kedatangan hari lahirnya yang ke-19, Haziq mengambil kesempatan melancarkan kelab peminatnya (Haziq FC) di Grand Continental, Kuala Lumpur sekitar jam 8 malam, esok.

Pelbagai aktiviti menarik dijalankan. Selain persembahan nyanyian dari Haziq sendiri malam itu dimeriahkan lagi dengan beberapa kejutan. Bahkan semua finalis AF4 termasuk bekas tenaga pengajar dijangka memeriahkan majlis itu.

No comments: